http://abnmulya.blogspot.com/2011/08/ppip-ketuai-boikot-minyak-esso.html
ExxonMobil sah milik San Miguel
KUALA LUMPUR 11 Sept. - Hasrat pelbagai pihak melihat kepentingan milik ExxonMobil Corporation di Malaysia bertukar tangan kepada Boustead Holdings Bhd. (Boustead) tidak akan menjadi kenyataan kerana urus niaga dan transaksi antara ExxonMobil Corporation dengan pembeli baharu, San Miguel Corporation (SMC) adalah sah.
Menurut jurucakap yang terlibat dalam urus niaga itu, ia adalah perjanjian komersial peringkat tertinggi yang menjadi amalan biasa dalam transaksi jual-beli organisasi korporat di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, meskipun kerajaan boleh campur tangan untuk membatalkan perjanjian sedia ada tetapi langkah itu tidak akan digunakan kerana ia boleh memberi kesan kepada imej Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan asing.
''Saya tidak menafikan Kerajaan Malaysia boleh campur tangan tetapi adakah ia baik untuk Malaysia dalam jangka panjang daripada segi imej dan sebagai sebuah negara pasaran terbuka?
''Kalau pun ExxonMobil Corporation bersedia untuk menimbang semula keputusan yang dibuat, tetapi sanggupkah syarikat itu menerima tindakan undang-undang daripada SMC, semata-mata untuk memenuhi permintaan pihak yang membantah?,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sumber itu berkata, perkara berkenaan telah pun dibawa ke Kabinet Rabu lalu untuk dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kemudiannya meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyelesaikan dengan cara berhemah.
Difahamkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah meminta ExxonMobil Corporation dan SMC memastikan permohonan urus niaga itu lengkap untuk mengelakkan pertikaian sebelum diserahkan kepada MITI.
Sumber itu berkata, pihak yang membuat kecaman berhubung isu penjualan itu juga lupa bahawa transaksi yang dilakukan ExxonMobil Corporation dan SMC tertakluk kepada Garis Panduan Baharu Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 2009.
Garis panduan itu menyatakan sebarang transaksi membabitkan jualan bukan bumiputera atau kepentingan majoriti asing tidak lagi memerlukan kelulusan FIC.
''Jadi, kalau berpandukan kepada rujukan ini, atas dasar apa kerajaan perlu campur tangan?,'' jelas beliau.
Beliau hairan mengapa penjualan kepentingan ExxonMobil di Malaysia kepada SMC dijadikan polemik sedangkan jual-beli itu adalah proses biasa dalam organisasi korporat termasuk syarikat multinasional.
''Sebagai antara pihak yang terlibat dalam urus niaga ini, saya tidak melihat penjualan perniagaan tersebut merugikan Malaysia meskipun EMMB berada di tangan SMC.
''Sekiranya SMC mampu mewujud dan meningkatkan nilai EMMB, apa salahnya, bukankah kakitangan dan Malaysia juga akan mendapat faedahnya?
''Bahkan, Boustead walaupun gagal dalam bidaannya masih mengakui urus niaga itu adalah adil,'' tambahnya.
Sumber itu mendedahkan, pada awalnya ExxonMobil Corporation memang berhasrat melupuskan kepentingannya kepada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) tetapi syarikat minyak negara itu mendapati tiada keperluan baginya untuk memiliki ExxonMobil Malaysia.
Kemudian, Boustead diletakkan sebagai sandaran ExxonMobil Corporation tetapi syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera itu tidak mampu menandingi bidaan yang tinggi oleh SMC.
''Saya tidak menafikan Boustead membuat beberapa semakan dalam bidaan tetapi masih terlalu rendah apabila dibandingkan dengan tawaran SMC.
''Saya tidak menafikan Boustead membuat beberapa semakan dalam bidaan tetapi masih terlalu rendah apabila dibandingkan dengan tawaran SMC.
''Dan, secara logiknya dalam bidaan, harga tertinggi pasti akan menjadi pilihan,'' ujarnya.
Mengulas dakwaan Boustead beberapa hari lalu bahawa tawaran yang dibuat untuk memiliki ExxonMobil Malaysia pada harga yang adil dan kompetitif, sumber itu berkata: ''Itu memang tidak dinafikan tetapi hakikatnya bidaan yang dibuat masih rendah berbanding SMC''.
SMC yang berjaya dalam bidaan itu akan menguasai 65 peratus pegangan dalam syarikat dagangan petroleum tersenarai, Esso Malaysia Bhd (EMB), dan syarikat milik penuhnya ExxonMobil Malaysia Sdn. Bhd. (EMMSB) dan ExxonMobil Borneo Sdn. Bhd. (EMBSB) pada harga AS$610 juta (RM1.83 bilion) atau RM3.50 sesaham EMB.
0 ulasan:
Catat Ulasan