Sabtu, 3 Mei 2014

RAHSIA KEHIDUPAN ORANG YAHUDI

Bahagian 4
 
Amalan Rasulullah diamalkan oleh kaum Yahudi

Bila disebut Yahudi atau Israel pasti yang tergambar hanyalah kejahatan yang mereka lakukan terhadap rakyat Palestine. Orang Islam seperti kita kebanyakkannya membuat tafsiran bahawa bangsa Yahudi atau Israel jahat dari segi amalan, adat resam, perbuatan dan segala-galanya. Orang Islam seperti kita tidak boleh atau haram mencontohi, mengamalkan cara hidup atau adat resam atau perbuatan mereka. Kita pandang jijik segala-galanya dari hujung rambut sampai hujung kaki kepada bangsa Yahudi atau Israel.

 Yang nyata dan yang jelas dilihat memang bangsa ini kejam dan zalim. Ini mungkin disebabkan kita saban hari melihat, mendengar atau menonton ditelevisyen, internet atau media cetak mengenai kekejaman mereka terhadap bangsa Palestine. Tetapi rahsia amalan kehidupan seharian mereka mungkin ramai yang tidak mengetahui kerana sifat benci yang meluap-luap dikalangan orang-orang Islam. Mungkin tidak ramai orang Islam yang membuat kajian atau penyelidikan tentang kehebatan orang-orang Yahudi yang menakluk seluruh dunia dalam hampir semua bidang. Mungkin kita tidak sedar bahawa terdapat barang-barang di dalam rumah kita sebenarnya adalah hasil ciptaan orang-orang Yahudi.

Sebelum membuat pelbagai andaian dan sentimen kebencian terhadap Yahudi, kita perlu tahu rahsia orang Yahudi ini yang sebenarnya ada pada kita, namun akibat mainan media dan penipuan orang Yahudi, kita alpa dan mengabaikan rahsia ini.

Anda nak tahu apakah rahsianya? Nak tahu bagaimana nak membentuk anak yang bijak dan beriman? Ia bermula sebelum pertemuan di antara si ibu dan si ayah lagi.

Walaupun umat Yahudi membenci Islam dan Nabi Muhammad s.a.w namun beberapa amalan atau Sunnah Rasulullah menjadi amalan mereka dalam kehidupan harian mereka. Mereka percaya cara hidup Rasulullah adalah satu cara hidup yang terbaik.

Semuanya tidak menyalahi syariat, bahkan sebahagiannya mengikut sunnah Nabi kita Muhammad s.a.w. Apa yang telah diajar oleh Baginda s.a.w telah dipinggirkankan oleh umatnya sendiri. Lebih malang apabila ianya mula diamalkan oleh musuh yang paling membenci Islam.


1. Amalan dan budaya

Kepercayaan mereka untuk membentuk bangsa yang cerdik, bijak dan pintar perlu bermula dari dalam kandungan lagi. Oleh itu sebaik sahaja mengetahui yang seorang ibu sedang mengandung, ibu tersebut akan sering menyanyi dan bermain piano. Si ibu dan bapa akan membeli buku-buku matematik. Si ibu akan menyelesaikan masalah matematik bersama suami.

 

Rasional kepada kecenderungan ini adalah orang Yahudi mahukan anak-anak mereka menjadi genius samada di dalam akademik, muzik dan sebagainya. Hobi secara tiba-tiba si ibu dan bapa ini akan merangsang sel-sel otak bayi untuk menerima saranan yang diingini oleh ibu dan bapa.

Walaupun terdapat perselisihan pendapat tentang kesan muzik yang boleh meningkatkan IQ bayi di dalam kandungan, muzik klasikal boleh memberikan kesan positif terhadap perkembangan awal bayi.

Saintis terkenal, Albert Einstein datang dari keluarga yang meminati sains. Ibu dan ayahnya sering memberikannya buku-buku sains ketika beliau masih kecil.

Sememangnya, orang-orang Yahudi tahu kesan pendidikan awal terhadap anak-anak mereka, walaupun masih dalam rahim ibu lagi.


Apa yang anda boleh pelajari?

Anda tidak perlu meletakkan headfon pada perut anda supaya bayi di dalam kandungan anda. Cukup hanya dengan membaca al-Quran sekurang-kurangnya seusai solat fardhu boleh memberikan kesan yang baik untuk perkembangan otak dan rohani bayi.

Baca surah-surah seperti Surah al-Fatihah, Surah At-Taubah, Surah Yusuf, Surah Maryam, Surah Luqman, Surah Yaasin, Surah An-Nahl dan doa-doa daripada Rasulullah S.A.W. untuk kebaikan anda dan bayi di dalam kandungan serta mendapat perlindungan dan pahala daripada Allah S.W.T

Jika anda inginkan anak yang genius, cuba pelajari sesuatu yang baru seperti belajar bermain Sudoku, permainan silang kata atau apa sahaja permainan yang memerlukan kemahiran berfikir dan penaakulan. Kalau tidak minat sekalipun, sekurang-kurangnya anda lakukan sesuatu yang bermanfaat dan positif kerana ia akan mempengaruhi anak anda nanti.
 

Amalan ini adalah amalan yang diseru oleh Rasulullah s.a.w kepada umat Islam untuk diamalkan semasa hamil. Wanita-wanita Islam yang hamil dianjurkan membaca dan mengalun-alunkan ayat-ayat al-Quran dengan sebaiknya. Malah lebih baik jika dibaca sebuah al-Quran secara istiqamah dan konsisten sepanjang membawa kandungan itu kerana fadhilatnya amat besar.

Abu Umamah Al-Bahiliy R.A berkata :

Aku mendengar Nabi SAW bersabda : “Bacalah oleh kalian semua Al-Qur’an, kerana ia akan datang pada hari Kiamat nanti sebagai pembawa syafaat bagi para pembacanya, bacalah oleh kalian semua “Dua yang Bersinar” (yaitu) Al-Baqarah dan Ali Imran, maka ia akan datang pada Hari Kiamat nanti bagaikan 2 naungan, atau bagaikan 2 awan, atau bagaikan 2 belahan burung dari angkasa yang menghalangi para pembacanya (dari api neraka –pen). Bacalah oleh kalian surah Al-Baqarah karena barangsiapa yang mengambilnya akan dilimpahkan berbagai kebaikan dan barangsiapa yang meninggalkannya akan ditimpa kerugian, dan tidak ada Al-Bathlah yang mampu mencelakakannya.” Berkata Mu’awiyah : Telah disampaikan kepadaku bahwa makna Al-Bathlah yaitu Tukang-tukang Sihir/Guna-guna.” (Hadith Riwayat Muslim)

Hakikatnya, pendidikan anak-anak bukan bermula dari saat dilahirkan bahkan kajian menunjukkan pendidikan bermula dari alam rahim lagi. Anak-anak di alam rahim sudah terdidik dengan perlakuan ibu dan persekitarannya. Lantas, bacaan al-Quran amat penting untuk dialunkan sepanjang tempoh itu kerana ia berupaya merangsang minda bayi berkenaan. Ahammu as-syai’ (perkara yang lebih penting) adalah memasakkan kalimah suci Allah melalui kalamullah yang suci. Bagi yang bergelar muslim dan mu’min, maka di sinilah letaknya kepentingan memilih bakal isteri atau ibu kepada anak-anak yang bakal dilahirkan daripada kalangan perempuan-perempuan yang beragama kerana ia berupaya mewarisi keimanannya kepada zuriat-zuriatnya.


Dalam hal ini, benarlah apa yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi yang mahu melahirkan anak-anak yang pintar matematik dengan melatih anak-anak sejak di alam rahim lagi.

Apa kata kita turut menjejaki langkah yang sama. Hafazlah al-Quran dan hadith sewaktu mengandung agar anak yang dilahirkan nanti akan menjadi al-hafiz atau al-hafizah. Belajarlah pelbagai bahasa agar anak itu akan menjadi golongan yang menguasai banyak bahasa terutamanya bahasa arab dan bahasa inggeris. Rajin-rajinkanlah diri melakukan amal ibadah agar anak itu turut sama menuruti amalan itu apabila dewasa kelak. Dan apalagi yang kita mahukan? Mulakanlah dari saat mengandung anak itu.

Adat orang-orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.”

Kenapa? khasiat ikan adalah penuh protein. Rupanya kelebihan pil minyak ikan adalah kerana mengandungi DHA. DHA adalah singkatan kepada docosahexaenoic acid. DHA tergolong dalam kumpulan essential fatty acid. Ini bermakna sumber utamanya tidak dikeluarkan oleh badan kita. Badan hanya mengeluarkan sedikit sahaja DHA. Bayi mendapat DHA dari susu yang diberi oleh ibunya. Sumber utamanya didapati dalam bentuk pemakanan. 60% otak manusia adalah diperbuat daripada lemak. Kebanyakan lemak ini pula diperbuat daripada DHA. Oleh itu DHA amat penting dalam pertumbuhan otak yang sihat. Oleh yang demikian, wanita yang mengandung amat disarankan untuk makan minyak ikan. Tetapi dalam kuantiti yang diperlukan.


2. Permakanan

Lazimnya orang Yahudi mementingkan keturunan kerana mereka tahu bahawa jika si ibu dan si bapa adalah bijak pandai, maka anak-anak mereka pun begitu juga. Suku kaum Ashkenazi Yahudi yang tinggal di Eropah Timur pada zaman dahulu amat memilih siapa bakal menantu kepada anaknya untuk memastikan keturunannya adalah bijak dan mempunyai I.Q yang tinggi.
 
Terdapat satu ungkapan di dalam kitab Talmud yang mengatakan ‘Seorang lelaki patut menjual seluruh hartanya supaya dia dapat berkahwin dengan anak perempuan seorang alim, sama juga jika mahu mengahwinkan anak perempuannya dengan seorang alim’. Ini menunjukkan bahawa orang Yahudi amat memandang tinggi golongan bijak pandai di kalangan mereka.

Pada zaman Rasulullah S.A.W sekalipun, kita mengetahui bahawa sebilangan golongan Yahudi yang tinggal di Madinah adalah golongan ahli agama yang bijak, atau lebih dikenali sebagai Ahli Kitab. Sebab itulah banyak surah-surah di dalam al-Quran yang banyak ditujukan kepada golongan Ahli Kitab ini kerana mereka sememangnya faham tentang ilmu bahasa dan kesusasteraan.

Apa yang anda boleh pelajari?

Apa yang anda wariskan kepada anak anda adalah hasil daripada apa yang anda selalu lakukan. Jika anda seorang usahawan yang gigih bekerja, lambat laun anak anak mungkin akan mengikuti jejak langkah anda hasil dari tarbiyah dan pemerhatian. Jika anda seorang guru yang berkaliber, tidak mustahil anak juga akan menjadi guru juga.

Walaupun faktor genetik memainkan peranan penting terhadap perkembangan intelek anak, namun faktor persekitaran juga mempengaruhi ‘apa yang anak anda akan jadi’ nanti.

Sejak awal mengandung ibu-ibu kaum Yahudi mengamalkan memakan makanan-makanan Sunnah seperti kacang badam, kurma, kismis, buah tin, habbatus sauda, madu dan minyak ikan bersama susu. Untuk tengah hari pula makan utamanya ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang.
 
Makanan-makanan Sunnah seperti susu, kurma, kacang badam, kismis, buah tin, bijirin, habbatus sauda, ikan, madu, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah makanan yang banyak membekalkan vitamin dan mineral untuk tubuh badan manusia.

Bukankah makanan-makanan tersebut dan susu adalah makanan dan minuman kegemaran Rasulullah s.a.w? Malah Rasulullah s.a.w pernah mengembala kambing dan memerah susu kambing. Terlalu simbolik apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Tidakkah kita terfikir bahawa di situ tersurat bahawa Allah ingin menyampaikan kepada hambaNya bahawa susu adalah minuman yang baik untuk diamalkan terutamanya bagi wanita-wanita mengandung.

Namun sayang sekali, umat Islam kurang mengambil berat tentang ini. Begitu juga dengan kurma. Inilah makanan yang mengandungi vitamin yang lengkap. Ketika seharian berpuasa, kurma adalah makanan pertama yang dianjurkan untuk dimakan sebagai asas menggantikan kekurangan vitamin dan mineral dalam badan.

Begitu juga dengan makanan-makanan yang dijamin akan khasiatnya sebagaimana yang diamalkan oleh orang-orang Yahudi. Amat rugi seandainya wanita-wanita Islam yang hamil tidak mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang kerana ia bakal mengundang melahirkan generasi Islam yang lemah dan kurang cemerlang. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda:

"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai daripada orang mukmin yang lemah” (Hadith Riwayat Muslim)


Di antara makanan-makanan Sunnah yang diamalkan oleh kaum Yahudi adalah :

1) Kacang Badam (Almond)


Ia terkenal kerana kandungan minyaknya. Ia juga makanan yang diwajibkan untuk para hufaz dari negeri Timur Tengah. Orang Yahudi membiasakan anak mereka meminum susu badam suam pada setiap hari.
 
Badam mengandungi protein, serat, kalsium, magnesium, kalium, zinc, selenium, kuprum, phosphorus, biotin, riboflavin, niacin, besi, vitamin E serta antioksida lain yang tinggi. Contohnya, segenggam badam (35gm), dapat membekalkan 45% dari keperluan harian Vitamin E dan Manganese.
Badam mengandungi 20 kali lebih banyak protein jika dibandingkan dengan bijirin lain. Kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi, oleh itu ia mengandungi gula yang tinggi berbanding dengan buah-buahan yang lain.

Kandungan vitamin B dalam badam mengatasi kandungan vitamin itu dalam telur, begitu juga niasin yang dimilikinya melebihi gandum. Kandungan kalsium juga mengatasi kandungan elemen itu dalam susu dan kandungan fosforusnya melebihi kandungan fosforus dalam keju.

Kanak-kanak amat sesuai memakan badam kerana khasiatnya dapat membantu pembesaran minda mereka, selain membina tulang dan gigi. Sementara kepada orang dewasa pula ia dapat membantu menyihatkan jantung mereka.


2) Kismis

Kismis adalah satu "gula-gula" asli ciptaan Allah SWT. Ia adalah sejenis buah-buahan kering yang paling berkhasiat di dunia, Ia tidak mengandungi kolestrol atau lemak serta rendah kandungan garam. Ia membekalkan tubuh badan dengan banyak vitamin dan minerals yang penting seperti zat besi, potassium, magnesium, kalsium dan vitamin B1, B3 dan B6.
 
Zat besi adalah penting untuk pembinaan darah bagi pengangkutan oksijen ke otak ke seluruh badan. Kismis juga merupakan serat yang baik yang kaya dengan agen anti-oksida(anti-penuaan). Kismis mengandungi 70% fruktosa (suatu bentuk gula ringkas yang asli) yang dapat dihadamkan dengan cepat untuk tenaga segera.

Antara khasiat kismis ialah :

a. Ia menajamkan minda atau daya ingatan kerana otak memerlukan banyak gula fruktosa untuk berfungsi dengan baik.

b. Menjadi sumber semulajadi anti
oksida kerana kismis mengandungi fenol. Anti oksida melindungi tubuh dari radikal bebas (oksidan).

c. Kismis menyihatkan dan melindungi gigi dan gusi kerana ia kaya dengan asid oleanolik.Asid Oleanolik mampu menghalang pertumbuhan bakteria yang menyebabkan plak dan kerosakan gigi.

d. Kismis kaya dengan potasium dan sodium yang membantu mengurangkan tekanan
darah tinggi.

e. Menguatkan tulang kerana di dalam buah kering ini terkandung fiber dan asid tartaric.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian”.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan (empedu/cairan kuning), menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih”.


3) Minyak Ikan

Minyak ikan kaya dengan Omega-3, DHA dan EPA. Omega-3 adalah sebuah keluarga rantai panjang asid lemak poli tak tepu (polyunsaturated fatty acid) yang merupakan nutrien penting untuk kesihatan dan perkembangan badan.
Lazim mengetahui asid lemak Omega-3 seperti DHA amat penting bagi tumbesaran dan perkembangan otak, sistem saraf dan retina bayi yang dikandung. Pengambilan asid lemak Omega-3 yang kaya dengan DHA dan EPA membawa kesan positif terhadap perkembangan kognitif dan penglihatan bayi selain mengurangkan risiko bayi yang dikandung akan mengalami masalah alahan.


4) Kurma

Kurma kaya dengan berbagai khasiat. Ia sangat bermanfaat kepada kesihatan tubuh dan merupakan makanan utama Baginda Rasulullah s.a.w.
 
Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta.

Kurma adalah sejenis buah yang tercatat dalam sejarah di mana Saidatina Maryam 'Alaihissalam ketika mahu melahirkan Nabi Isa 'Alaihissalam dirakam di dalam Al Quran;

'Dan gegarlah kearahmu batang pohon kurma itu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak, maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan. Al Quran (17) Surah Maryam (Ayat 25-26)

Sabda Rasulullah SAW: “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, akan menyebabkan penghuninya kurang sihat”.



5) Madu

Madu kaya dengan fruktosa iaitu gula ringkas yang boleh diserap terus ke dalam darah untuk memberi tenaga segera. Para penyelidik menggelar madu sebagai agen untuk mencerdaskan otak.
 
Sabda Rasulullah s.a.w. Barangsiapa yang menjilat Madu sebanyak tiga kali pagi setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar (penyakit yang berbahaya) (Riwayat Ibnu Majah)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Quran, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit”.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu”.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik minuman ialah madu kerana dia dapat mengkonsentrasikan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada”.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Allah SWT telah meletakan berkat di dalam madu dan menjadikannya sebagai ubat dari rasa nyeri, dan madu telah didoakan oleh 70 Nabi”.


6) Habbatus Sauda

Habbatus-sauda adalah herba ubatan yang telah digunakan sejak 3000 tahun yang lalu. Habbatus Sauda adalah sejenis tumbuhan dalam bentuk rumput kecil, mempunyai batang yang tingginya lebih kurang setengah hasta, mengeluarkan bunga yang berwarna biru yang terdapat di dalamnya biji Habbatussauda. Tumbuhan ini terdapat di negara Arab dan dikenali dengan pelbagai nama seperti Habbatussauda (Mesir , Syam), dalam Bahasa Inggeris dipanggil Nigella Sativa atau Black Cumin. Produk mempunyai khasiat yang amat tinggi. 


Sabda Rasulullah s.a.w. "Tetaplah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya adalah penawar segala jenis penyakit melainkan as Sam. Para sahabat bertanya "Ya Rasulullah, apakah itu as Sam..? Jawab Rasulullah s.a.w "As Sam itu adalah mati.."

Tujuh Ciri-ciri Nilai Pemakanan Utama Habbatus Sauda :

1. Kaya dengan Monosaccharide Glukosa, xylosa dsb. polysaccharide fatty acid yang tidak tepu. EFA tidak boleh dihasilkan oleh badan kita, oleh itu sumber utamanya ialah dari pemakanan. Amino acid yang membentuk protein. Karotene iaitu sumber vitamin A kalsium, zat besi, dsb.

2. Sistem imunisasi - Kajian yang dilakukan di Arab Saudi mendapati, habbatus sauda berupaya meningkatkan sistem imunisasi anda (daya melawan penyakit). Oleh itu ia mungkin penting dalam pengawalan kanser, AIDS dan penyakit-penyakit berkaitan yang lain.

3. Anti-histamine - Histamine ialah bahan yang dikeluarkan oleh sel-sel mast di dalam badan yang menyebabkan kesan-kesan allergik (alahan). Habbatus sauda mengandungi bahan yang menghalang protein kinase C, sejenis bahan yang mencetus penghasilan histamine. Oleh kerana penghidap penyakit asma selalunya mengalami masalah alahan, habbatus sauda mungkin baik diambil secara berterusan oleh pesakit-pesakit ini.

4. Anti-tumor - Kajian in vitro mendapati habbatus sauda berupaya menghalang pembentukan sel-sel tumor. Oleh itu, ia baik untuk digunakan untuk membantu menghalang penyakit kanser.

5. Anti-bakteria - Penyelidikan ke atas bahan ini mendapati ia mempunyai aktiviti anti-bakteria . Habbatus sauda didapati berupaya mengawal bakteria seperti E.coli, V.cholera dan spesies Shigella. Ini bermakna habbatus sauda baik untuk mereka yang menghidapi beberapa jenis penyakit seperti cirit-birit dan masalah-masalah perut yang lain.

6. Anti-radang (anti-inflammation) - Habbatus sauda didapati boleh mengurangkan radang (bengkak). Oleh itu ia baik untuk pesakit asma (mengurangkan radang dalam paru-paru), eczema (alahan yang menyebabkan gatal, kulit merah dsb.) dan arthritis (bengkak sendi).

7. Menggalakkan pengeluaran susu ibu - Kombinasi lemak dan hormon yang didapati di dalam habbatus sauda menyebabkan pengeluaran susu ibu yang menyusukan bayi bertambah.

 

7) Buah Tiin

Buah Tiin adalah buah yang paling istimewa dikalangan orang Islam kerana Allah SWT telah menggunakan Buah Tiion ketika bersumpah dan menamakan satu surah di dalam Al Quran dengan nama Al-Tiin. Ini kerana padanya terdapat sumber makanan, buahan dan nilai ubatan.
 
Dikenali sebagai Fucus carica dan dianggap sebagai salah satu sumber pemakanan yang tinggi debgan serat.
 
Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan tentang buah tiin yang mempunyai nilai ubatan dengan Sabda Nabi "Makanlah kamu semua dan makanlah darinya (buah tiin) dan Sabda Nabi lagi, "Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun daru syurga maka aku kata "inilah buahnya" kerana buah syurga tiada keraguan, sesungguhnya ia boleh menyembuhkan penyakit buasir dan mendatangkan faedah bagi sendi-sendi."
 
Allah berfirman "Demi buah Tiin dan Buah Zaitun, Demi Gunung Sinai dan Negeri (Makkah) yang dijadikan aman.." Al Quran (95) Surah At Tiin (Ayat 1).
 
Sabda Rasulullah s.a.w.
 
Makanlah kamu semua darinya (Buah Tin), sekiranya aku katakan sesungguhnya buah yang turun dari syurga maka aku kata 'inilah buahnya'. Ini kerana buah syurga tiada keraguan. Sesungguhnya ia boleh menyembuhkan penyakit buasir dan mendatangkan manfaat bagi sendi-sendi" Hadis riwayat Abu Daud, Abu Darda, Suyuti


8) Ekstrak Daun Zaitun Olive Oleo

Melancarkan penghantaran nutrien-nutrien dari bahan bahan di atas ke dalam darah dan seterusnya ke otak. Ia juga adalah anti bakteria, anti fungus dan anti virus. Resepi ini tidak memasukkan sebarang bahan awet selain dari ekstrak daun zaitun ini.
 
Pohon Zaitun adalah pohon yang diberkati seperti sabda Rasulullah s.a.w. "gunakan sari zaitun sebagai lauk pauk dan minyak, sesungguhnya ia berasal dari pohon yang diberkati' Riwayat at Tarmizi dan Ibnu Majah"
 
Mereka akan memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang ke rumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu.”Nabi s.a.w sejak awal lagi mengajar kita mendahului makan buah sebelum mengambil makanan yang lebih berat. Buktinya, ketika berbuka puasa, kurma (buah) adalah makanan yang pertama disunatkan untuk dimakan ketika berbuka.
 
Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutob sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutob, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Hadith Sahih)
 
Nota: Balah (buah kurma yang masih muda, biasanya masih di atas pohon kurma) Rutob (buah kurma yang dah ranum, biasanya sedikit basah), Tamar (kurma yang telah dikeringkan).
 
Menurut Dr. Fadzilah Kamsah, ada kajian yang menunjukkan bahawa vitamin hanya beroperasi di dalam badan manusia hanya ketika perut kosong. Jika perut telah dipenuhi, maka vitamin akan dikumuhkan. Jika benar begitu, alangkah indahnya Islam kerana Nabi s.a.w telah mengajarkannya sejak 1400 tahun yang lalu.
 
Tidak dapat dinafikan, orang Yahudi memang sudah mengamalkan apa yang telah dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W 1400 tahun yang lalu. Mungkin mereka tahu tetapi tidak mahu orang Islam tahu.