Selasa, 5 Julai 2011

Apa yang dibentangkan Tun Mahathir mengenai Kuasa Raja ........?

Jangan hanya tau mengutuk dan menghina Tun Mahathir tanpa tau apa yang dibentangkan olehnya ....... Baca dan teliti kemudian baru buat tafsiran .......


Sejarah Mahathir mengurangkan kuasa Raja


Penyampai : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Lokasi : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Tarikh : 18-01-1993

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama Suatu Akta untuk meminda Perlembagaan dibacakan kali yang kedua sekarang.Tuan Yang di-Pertua, Izinkan saya memperkenal dan mengulas Akta yang telah saya sebutkan tadi.

2. Ketika negara menuntut kemerdekaan, pemimpin-pemimpin negara yang telah mendapat kemenangan besar dan sokongan padu dalam Pilihanraya Umum tahun 1955 telah membuat pilihan supaya sistem pemerintahan di negara ini ialah sistem Demokrasi Berparlimen atau `Parliamentary Democracy` dan Raja Berperlembagaan atau `Constitutional Monarchy`.

3. Sistem ini dipilih kerana semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri- negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti Cina, Siam dan Barat. Akhirnya semua negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-Raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British.

4. Selepas Perang Dunia Kedua, Raja-Raja Melayu berharap apabila British mentadbir semula kedudukan mereka sebagai Raja yang berada di bawah nasihat pegawai-pegawai British akan dikembalikan. Negeri-negeri Melayu akan sekali lagi diperintah oleh British walaupun tidak seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, di mana British berkuasa penuh.

5. Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri Semenanjung, mereka juga bersedia menerima pemerintahan di mana keMelayuan negeri-negeri Melayu diakui oleh British, walaupun pentadbiran dikuasai hampir sepenuhnya oleh British. Namun ada pendapat di kalangan sebilangan orang Melayu bahawa negeri-negeri Melayu sepatutnya dibebaskan daripada pemerintahan kolonial British sama sekali.

6. Orang Melayu hanya sedar akan kemungkinan mereka diketepikan dan menjadi pengemis di negeri mereka sendiri apabila Raja-Raja Melayu tunduk kepada ugutan MacMichael dan menandatangani perjanjian baru dengan British yang menyerahkan negeri-negeri Melayu terus kepada British untuk diperintah sebagai tanah jajahan takluk British sama seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.

7. Oleh kerana begitu mudah Raja-Raja menyerahkan Singapura, Pulau Pinang dan Pangkor kepada penjajah dan kemudiannya menyerah pula negeri-negeri Melayu, maka rakyat tidak lagi boleh menerima sistem yang memberi kuasa hanya kepada Raja dan rakyat tidak diberi peranan apa-apa dalam politik negara. Lagi pun selepas Perang Dunia Kedua, Sistem Raja berkuasa penuh sudah menjadi lapok di seluruh dunia. Di merata-rata tempat Sistem Beraja ditamatkan terus. Di mana ia dikekalkan, kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan atau undang-undang asas negara. Justeru itu, semasa Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, pemimpin- pemimpin rakyat telah mengkaji sistem-sistem pemerintahan dengan mengambilkira sejarah negeri-negeri Melayu dan sistem-sistem pemerintahan lain.


Tuan Yang di-Pertua,

8. Sistem pemerintahan lama negeri-negeri Melayu adalah sistem feudal di mana Raja berkuasa penuh tanpa Perlembagaan yang ditulis. Sistem feudal ini ditentukan oleh adat yang sering dimanipulasikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa. Jika pihak yang berkuasa melampaui adat, pegawai- pegawai istana atau rakyat sukar untuk menegur dan membuat sebarang dakwaan. Tetapi apabila keadaan menjadi terlalu buruk, kemungkinannya ialah adat diketepikan dan pemberontakan berlaku. Tetapi cara ini tetap membawa kesan yang buruk tanpa menjamin bahawa pemberontakan akan memperbaiki keadaan.

9. Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah suatu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja. Dengan cara ini Raja tidak lagi boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan, iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negeri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.

10. Namun semasa sistem Raja Berperlembagaan digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu, yang ketika itu menuju kemerdekaan, penggubal-penggubal perlembagaan masih percaya Raja-Raja akan patuh bukan sahaja kepada yang tersurat tetapi juga yang tersirat di dalamnya — iaitu semangat yang terdapat dalam Perlembagaan.

11. Di zaman penjajahan British, oleh kerana mereka boleh menaik atau menurunkan Raja, maka Raja menerima nasihat pemerintah kolonial. Perkara ini dimasukkan dalam perjanjian di antara pihak British dengan Raja-Raja Melayu di mana nasihat `British Resident` atau `British Adviser` mesti dipohon dan dipatuhi oleh Raja melainkan berkenaan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi British, nasihat yang mesti dipatuhi oleh Raja tidaklah ganjil kerana dalam sistem Kerajaan di Britain, `King` atau `Queen` mereka mesti menerima nasihat Kerajaan. Jika tidak, Raja akan diturunkan dari takhta. Oleh itu apabila King Edward VIII berkeras untuk berkahwin dengan seorang janda, baginda terpaksa turun dari takhta atas nasihat Kerajaan, walaupun tidak ada peruntukan khusus untuk tindakan ini. Yang dikuatkuasakan bukan undang-undang tetapi kepentingan politik negara, dan Raja-Raja British memang akur kepada politik negara. Sebab itulah sebelum pun Parlimen British memutuskan supaya Queen Elizabeth membayar cukai pendapatan, Baginda sendiri baru- baru ini membuat keputusan untuk membayar cukai pendapatan.Perlembagaan British, walaupun tidak bertulis, dipatuhi daripada segi semangat dan adat.

12. Oleh kerana Raja-Raja Melayu di zaman kolonial telah mematuhi nasihat, maka dipercayai bahawa masalah Raja bertindak di luar undang-undang tidak akan berlaku.

13. Penggubal undang-undang dan pengasas pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka juga percaya peruntukan bahawa Raja tidak boleh didakwa di mahkamah hanyalah sebagai petanda kemuliaan Raja dan bukan sebagai hak untuk melakukan jenayah. Sudah tentu penggubal Perlembagaan dan pengasas kemerdekaan negara tidak bermaksud peruntukan ini memberi hak kepada Raja untuk membelakangkan undang-undang civil dan criminal. Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy tidak pernah memberi keistimewaan atau privilege kepada Raja untuk melakukan jenayah. Tetapi jika Raja tersalah semasa menjalankan tugas rasmi, Raja adalah bebas daripada tuduhan. Ini adalah kerana yang bertanggungjawab dan boleh didakwa ialah Kerajaan.

14. Dalam usaha menentang Malayan Union dan mengembalikan negeri-negeri Melayu dan negeri-negeri Selat kepada `status quo ante` iaitu keadaan sebelum Perang Dunia Kedua, rakyat telah memainkan peranan yang penting walaupun tidak diperuntukkan oleh undang-undang. Adalah jelas kepada rakyat pada masa itu bahawa Raja tanpa sokongan rakyat mudah dikuasai oleh pihak penjajah dan pihak-pihak lain. Justeru itu, rakyat perlu diberi hak dalam politik dan pentadbiran negara. Peranan rakyat mestilah ditentukan oleh undang- undang.

15. Memandangkan hakikat ini dan sekali lagi dengan mengambil contoh dari Britain, Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka memilih sistem Demokrasi Berparlimen. Rakyat akan melantik wakil mereka ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri yang menjadi penggubal utama undang-undang dan dasar-dasar negara. Ini menentukan rakyat boleh memainkan peranan mereka dengan tertib dan tersusun.

16. Tetapi sekali lagi mengikut sistem di Britain, undang- undang hanya menjadi sah setelah ditandatangani oleh Raja.Di Britain, ini tidak menjadi masalah kerana Raja tidak mungkin menolak nasihat Jemaah Menteri. Tetapi di Malaysia perkataan nasihat, yang penggubal perlembagaan percaya akan mempunyai makna yang sama seperti di Britain dan juga di zaman penjajah, tidak ditafsirkan dengan jelas. Oleh itu pihak Raja boleh menolak nasihat Kerajaan.

17. Jika Kerajaan diakui terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menentukan rakyat berkuasa, tetapi nasihat Kerajaan berkemungkinan tidak diterima, ini bererti Demokrasi Berparlimen tidak wujud dan rakyat tidak berkuasa sepenuhnya. Dalam perkara-perkara tertentu bukan sahaja persetujuan Yang di-Pertuan Agong diperlukan, tetapi juga persetujuan Majlis Raja-Raja.

18. Walaupun wakil rakyat bebas bercakap dalam Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri mengenai apa juga tajuk, tetapi mereka tidak boleh menyentuh diri Raja-Raja kerana sebarang kritikan atau teguran terhadap Raja boleh ditakrif sebagai hasutan dan mereka boleh didakwa di bawah Akta Hasutan. Peruntukan ini adalah hasil pindaan yang dibuat pada tahun 1971. Sebelum ini, teguran terhadap Raja boleh dibuat di dalam dewan. Di Britain dan di negara-negara lain, ahli-ahli Parlimen bebas menegur atau mengkritik Raja. Adalah jelas bahawa menegur dan mengkritik Raja tidak menghapus kedaulatan Raja.

19. Sementara halangan ke atas teguran ini dikatakan akan memelihara kemuliaan Raja, tetapi apabila Raja tidak ditegur, maka ia tidak akan sedar akan kesalahan yang telah dilakukannya. Dengan itu, mungkin lebih banyak kesalahan akan dilakukan dan kesalahan ini mungkin akan menjadi lebih serius. Ini bukan sahaja akan mencemarkan kemuliaan Raja, bahkan juga boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap Raja. Tidaklah benar jika dikatakan larangan terhadap mengkritik Raja akan memelihara kemuliaan Raja. Sebenarnya kemuliaan Raja akan tercemar kerana larangan ini.

20. Dengan kemungkinan Raja menolak nasihat serta bebas daripada teguran dan sebarang tindakan keadilan, maka Raja sebenarnya bukan Raja Berperlembagaan lagi tetapi menjadi Raja mutlak. Sekali lagi Demokrasi Berparlimen tidak wujud kerana tidak ada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Raja yang tidak menerima nasihat Kerajaan rakyat dan melakukan kesalahan.

21. Pada tahun 1983, tindakan telah diambil untuk meminda Perlembagaan supaya sekurang-kurangnya kuasa Yang di-Pertuan Agong menolak rang undang-undang yang dilulus oleh Parlimen dibatalkan. Usaha ini berjaya tetapi tidak sepenuhnya. Yang diluluskan akhirnya ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong menolak rang undang-undang Parlimen dikurangkan sedikit dengan mengadakan peruntukan baru bahawa Baginda boleh merujuk balik kepada Parlimen jika Baginda enggan menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen. Jika Parlimen meluluskannya sekali lagi, sama ada dengan pindaan atau tidak, maka rang undang-undang itu akan menjadi undang-undang yang sah dalam jangkamasa 30 hari (Perkara 66(4) Perlembagaan) walaupun tidak ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

22. Tetapi kelulusan secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan- keistimewaan Raja-Raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja, Majlis Raja-Raja perlu memberi persetujuan.

23. Di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja. Ini bermakna kuasa Raja-Raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat.

24. Peruntukan-peruntukan ini tidak menjadi masalah jika tidak ada tentangan pendapat di antara Raja-Raja dengan Dewan-Dewan Undangan, atau tidak ada perbuatan yang salah yang dilakukan oleh Raja-Raja, atau tidak ada adat Melayu yang tidak suka memburukkan hubungan dengan Raja-Raja.Malangnya oleh kerana Menteri-Menteri Besar dan Perdana Menteri adalah orang Melayu yang enggan bermasam muka dengan Raja, maka apabila Raja membuat sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan, tidak ada teguran yang berkesan yang dibuat. Jika ada pun, keengganan Raja mengambil berat akan teguran penasihat-penasihat rasmi ini tidak mendatangkan apa-apa tindakan kepada Raja.

25. Justeru itu dalam sejarah Malaysia yang merdeka, tindakan Raja-Raja dan pihak-pihak yang berlindung di belakang Raja yang melampaui hak dan keistimewaan Raja, semakin lama semakin serius. Kemungkinannya ialah ia akan menjadi lebih serius lagi di masa-masa hadapan. Jika tidak ada pindaan undang-undang, seperti yang dicadangkan ini, tidak syak lagi bahawa perkara-perkara yang lebih buruk akan berlaku yang mana ini akan menyebabkan institusi Raja dibenci oleh rakyat. Bukanlah mustahil jika satu hari kelak tuntutan dibuat untuk menghapuskan Sistem Beraja sama sekali walau apa pun yang diperuntukan oleh Perlembagaan.

26. Justeru itu pindaan yang dicadangkan ini bertujuan mengelak atau menghalang daripada meningkatnya perasaan benci kepada Raja yang boleh membawa kepada tuntutan untuk menghapuskan Sistem Beraja. Pindaan ini adalah untuk menyelamatkan Raja-Raja sendiri dan sistem Raja Berperlembagaan. Untuk memperkuatkan lagi peruntukan Perlembagaan bagi mengekalkan Sistem Beraja, peruntukan dibuat supaya sebarang syor atau cadangan untuk menghapuskan Sistem Beraja akan ditakrif sebagai hasutan dan tertakluk kepada Undang-Undang Hasutan.

27. Pindaan ini tidak menyentuh keistimewaan-keistimewaan yang diberi kepada Raja-Raja. Raja-Raja akan terus bertaraf Raja, dan kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada Raja dan keluarga di-Raja mengikut Perlembagaan dan undang-undang akan diteruskan.

28. Untuk menentukan sistem Raja Berperlembagaan benar- benar berkesan, maka tiga pindaan perlu dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan. Yang pertama ialah peruntukan Perlembagaan berkenaan dengan kekebalan Raja-Raja daripada sebarang tindakan undang-undang seperti dalam Fasal (1) Perkara 32 yang mana selepas perkataan “mahkamah” ditambah perkataan “tetapi hanya berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya dalam perjalanan atau yang berupa sebagai perjalanan fungsi- fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis”. Ini bermakna tidak ada tindakan mahkamah yang boleh diambil terhadap Raja dalam menjalankan tugas rasminya.

29. Kekebalan Raja atau Sovereign Immunity adalah suatu prinsip feudal — satu konsep kononnya `The King can do no wrong`. Mengikut Dr. Hogg dalam bukunya `Liability of the Crown` konsep ini berasas kepada alasan bahawa seorang Raja tidak boleh didakwa dalam mahkamahnya sendiri. Alasan ini sudah lama dipersoal dan ditolak oleh pakar-pakar undang- undang di Eropah seperti Adams yang merasakan tidak ada keraguan bahawa feudal lords diletak di bawah mahkamah mereka sendiri — `No doubt at all of the subjection of feudal lords to their own courts`.

30. Di bawah Government of India Act 1935 Governor General atau Governor adalah kebal hanya semasa melakukan tugas rasmi.

31. Di Amerika Syarikat, tuntutan Presiden Nixon supaya dianya dikecualikan daripada suatu peruntukan undang-undang telah ditolak oleh Supreme Court.

32. Di England, Queen tidak boleh ditangkap dan penangkapan sesiapa tidak boleh dibuat dalam kawasan istana. Juga dakwaan terhadap Queen tidak boleh dibuat dalam mahkamah.

33. Tetapi dalam satu kertas yang membincangkan Constitu- tional Law of India, di bawah Crown Proceedings Act bagi En- gland peruntukan asal telah dipinda supaya `Civil proceedings by and against the Crown` boleh dibuat. Dengan ini perbezaan `proceedings` terhadap `Crown` disamakan dengan rakyat.

34. Di dalam kertas yang sama disebutkan bahawa adalah menjadi `fundamental general rule` bahawa `His Majesty can- not sanction any act forbidden by the law`. Apabila Baginda tidak boleh sanction, Baginda dengan sendirinya tidak boleh berbuat sesuatu yang salah. Dengan ini, maka `His Majesty is under and not above the laws, (and) that he is bound by them equally with his subjects`.

35. Peruntukan dalam Perlembagaan-perlembagaan Sepanyol, Belgium, Norway, Denmark, Sweden dan Luxembourg, semuanya memberi immunity kepada Raja hanya dalam menjalankan tugas rasmi sebagai Raja. Sebarang kesalahan dalam menjalankan tugas rasmi akan dipikul oleh Kerajaan atau Menteri.

36. Tidak ada peruntukan khusus dalam mana-mana Perlembagaan negara-negara Eropah yang memberi immunity kepada Raja apabila melakukan perbuatan yang tidak rasmi.Namun Raja-Raja negara-negara berkenaan masih diiktiraf dan berdaulat. Mereka terus menjadi sovereign dan tidak hilang sovereignty mereka. Pendapat bahawa Raja hanya berdaulat jika Raja boleh melakukan jenayah dengan sewenang-wenangnya, tidak disokong oleh amalan-amalan di negara-negara lain di zaman ini. Bahkan di zaman dahulu pun Raja kerap dihukum apabila melakukan kesalahan. Demikian dengan Charles I di England dan Louis XVI di France.

37. Hanya dalam Perlembagaan Malaysia sahaja yang diperuntukkan secara khusus bahawa di bawah Artikel 181(2) bahawa `no proceedings whatsoever shall be brought in any court against the Ruler of a State in his personal capac- ity`.

38. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri pertama negara ini, pernah menulis bahawa kekebalan atau immunity ini tidak `satisfactory` kerana `Raja boleh membunuh tanpa sebarang tindakan terhadapnya`. Kesan peruntukan Artikel 181(2) ini amatlah luas. Oleh kerana Perlembagaan-Perlembagaan Persekutuan dan Negeri adalah juga undang-undang, Artikel 181(2) sebenarnya membenarkan Raja melanggar Perlembagaan. Sebab itu apabila Raja berniaga, walaupun dilarang oleh Perlembagaan, tidak ada apa-apa yang boleh dibuat oleh Kerajaan. Yang di-Pertuan Agong juga tidak boleh didakwa dalam mana-mana mahkamah. Tetapi Majlis Raja-Raja boleh melucutkan jawatannya. Sebaliknya sebagai Raja, Artikel 181(2) akan melindunginya.

39. Jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kekebalan yang diberikan kepada Raja-Raja perlulah dihapuskan. Oleh kerana Perlembagaan di negara-negara yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan tidak memberi kekebalan kepada Raja-Raja mereka, maka penghapusan kekebalan Raja-Raja Melayu tidak akan menjejaskan sover- eignty atau kedaulatan mereka. Di zaman moden ini hanya kerana Raja tidak boleh melakukan jenayah dengan sewenang- wenangnya tidak akan menjejaskan taraf Raja, terutama di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

40. Untuk menentukan bahawa penghapusan kekebalan berkesan, dua lagi peruntukan dalam Perlembagaan perlu dipinda. Yang pertama ialah berkenaan dengan peruntukan dalam Artikel 63(2) yang melindungi seseorang yang mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen atau Jawatankuasa Dewan daripada disoal dalam mahkamah, telah dipinda di bawah Artikel 63(4) jika dianya menyentuh peruntukan Akta Hasutan.Peruntukan ini dibuat pada tahun 1971. Ini bermakna teguran terhadap Raja boleh dibuat sebelum 1971 tanpa menjejaskan kedaulatan Raja. Justeru itu membenar semula wakil-wakil rakyat mengkritik Raja yang bersalah tidaklah menidakkan hak atau keistimewaan asli Raja-Raja.Pindaannya Perkara 63 selepas Fasal(4) berbunyi:- “(5) Walau apa pun Fasal (4) tidak seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan olehnya tentang Yang di-Pertuan Agong atau seseorang Raja semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana- mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya kecuali jika ia menganjurkan penghapusan kedudukan Berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan Berperlembagaan Raja sesuatu negeri, mengikut yang mana-mana yang berkenaan”.Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda dengan memasukkan selepas Fasal (4) Fasal yang berikut:- “(5) Walau apa pun Fasal (4) tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan olehnya tentang Raja mana-mana Negeri semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding Dewan Undangan mana-mana Negeri atau mana-mana jawatankuasanya kecuali jika dia menganjurkan penghapusan kedudukan Raja itu sebagai Raja Berperlembagaan Negeri itu”.

41. Tafsiran yang dibuat mengenai hasutan terhadap Raja dalam Perlembagaan adalah begitu luas sehingga tidak ada apa-apa pun teguran yang boleh dibuat di dalam Parlimen oleh ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan. Dengan itu me- dia juga tidak berpeluang untuk melapor. Teguran yang boleh dibuat hanyalah oleh penasihat Raja secara tertutup. Jika teguran ini tidak berkesan tidak ada apa-apa lain yang boleh dibuat.

42. Sebenarnya ketiga-tiga Perdana Menteri dahulu, sebagai penasihat kepada Raja-Raja, telah pun menegur Raja-Raja berkali-kali semasa mereka berkhidmat. Saya tahu teguran ini dibuat kerana perkara ini telah dilaporkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan juga Majlis Tertinggi UMNO berkali-kali.

43. Allahyarham Tun Hussein Onn, semasa menjadi Perdana Menteri, pernah dalam ucapan bertulis di suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang dihadiri hanya oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia atau wakil-wakil mereka sahaja, menegur dengan kerasnya perbuatan Raja-Raja yang tidak harus dilakukan.

44. Tetapi semua teguran ini tidak berkesan. Perkara- perkara yang disentuh terus dilakukan juga, bahkan ditingkatkan. Apa yang tidak pernah dibuat di zaman British dan pada tahun-tahun awalan Malaysia merdeka, dilakukan dengan semakin ketara dan meluas.

45. Walaupun hampir semua Perdana Menteri dan Menteri Besar melaporkan kepada Majlis Tertinggi UMNO akan masalah yang dihadapi oleh mereka tetapi orang ramai tidak diberitahu.Justeru itu, orang ramai tidak mengetahui masalah yang dihadapi oleh Kerajaan. Sebahagian besar daripada mereka terus percaya bahawa sistem Raja Berperlembagaan berjalan dengan baik dengan Raja menghormati segala peruntukan dalam Perlembagaan. Hanya sebilangan kecil daripada rakyat yang mengetahui dan mereka ini memang tidak senang hati dengan perbuatan Raja-Raja. Tetapi mereka ini tidak dapat menyuarakan pandangan dan perasaan mereka ini kerana adanya Akta Hasutan.

46. Akta Hasutan dan peruntukan berkenaan dengan hasutan terhadap Raja-Raja dalam Artikel 63(4) Perlembagaan menghalang rakyat daripada mendapatkan maklumat dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka hanya dapat bercakap sesama sendiri sahaja. Pemimpin-pemimpin politik, termasuk pemimpin-pemimpin Kerajaan, memang mendengar dan menyedari akan pandangan dan kemarahan sebilangan rakyat yang mengetahui perbuatan Raja. Demikianlah kemarahan mereka sehingga ada, terutama di kalangan generasi muda, yang menganggap Sistem Beraja sudah ketinggalan zaman.

47. Tetapi oleh kerana Akta Hasutan dan larangan terhadap mengkritik Raja, Raja tidak mendengar dan tidak percaya kepada penasihat mereka apabila maklumat disampaikan berkenaan kegelisahan rakyat. Raja dan keluarga-keluarga di-Raja nampaknya berpendapat bahawa semua ini adalah ciptaan penasihat-penasihat Raja untuk menakutkan Baginda atau untuk merebut hak Raja.

48. Dalam keadaan ini Raja bukan sahaja akan meneruskan amalan-amalan yang tidak disenangi atau disukai oleh rakyat tetapi juga akan melakukan perkara-perkara yang lebih dibenci oleh rakyat. Jika trend ini tidak disekat, perasaan rakyat terhadap Raja tentu akan meluap dan menjadi begitu buruk sehingga pada suatu masa nanti rakyat mungkin tidak lagi dapat membendung perasaan mereka. Perasaan yang diluahkan dalam surat-surat kepada akhbar sebenarnya sudah lama wujud.

49. Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membaca petikan daripada satu rencana yang dihantarkan kepada akhbar The Straits Times pada tahun 1946 oleh seorang tokoh Melayu yang terkemuka, apabila British mencadangkan penubuhan Malayan Union. Tokoh ini kemudian memegang jawatan yang tinggi dalam Kerajaan. Rencana ini tidak disiarkan oleh akhbar Straits Times tetapi ia disampaikan kepada saya baru- baru ini oleh penulis.

50. Penulis ini menyatakan, dengan izin, `All intelligent Malay leaders ought now seriously to give most profound and careful thought to the question whether the time has not ar- rived when the Malay Royalty (I mean the Sultan and Raja) should gracefully withdraw themselves altogether`.

51. Jika pandangan seperti ini sudah ada pada tahun 1946, apakah ia tidak mungkin wujud semula pada tahun 1993 jika Raja-Raja tidak dihalang daripada melakukan perbuatan- perbuatan yang tidak diingini?

52. Perlindungan dan keistimewaan yang diberi kepada Raja bertujuan meletakkan Raja di tempat yang tinggi dan mulia. Perlindungan dan keistimewaan ini bukanlah untuk membolehkan Raja melakukan apa sahaja termasuk jenayah. Raja yang sedar dan faham akan maksud sebenar peruntukan ini akan sentiasa memelihara daripada mencemar diri dalam perbuatan atau berkelakuan yang tidak baik dan tidak disukai oleh masyarakat. Raja yang sedar akan tahu bahawa perbuatan tidak menghiraukan perasaan dan pandangan masyarakat akan menyebabkan rakyat akhirnya menyingkirkan Raja, bahkan menghapuskan Sistem Beraja. Inilah yang berlaku di negara- negara lain yang sekarang menjadi republik.

53. Di Malaysia lindungan yang diberi amatlah tebal.Kekebalan Raja daripada undang-undang dan larangan terhadap teguran, walaupun hanya oleh ahli-ahli Dewan-Dewan Undangan yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negara, mengasingkan Raja daripada dunia sebenar. Dalam keadaan ini perbuatan dan tingkah-laku Raja akan menjadi lebih buruk sepanjang masa. Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang.

54. Justeru itu, adalah penting Ahli-Ahli Dewan diberi semula hak menegur Raja dalam perbahasan mereka. Tanpa hak ini Ahli-Ahli Dewan tidak akan berjaya mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan tidak akan dapat membuktikan bahawa rakyatlah yang berkuasa dalam sistem ini. Tanpa hak ini, yang berkuasa ialah Raja dan bukan rakyat.

55. Dengan adanya larangan terhadap menegur Raja, Ahli-Ahli Dewan sebenarnya tidak dapat memelihara Institusi Raja dan Sistem Beraja. Justeru itu, kebebasan Ahli-Ahli Dewan berucap dalam Dewan tidak harus disekat oleh Akta Hasutan seperti yang diperuntukan di bawah Artikel 63(4) dan 72(4).Dengan ditambah Artikel 63(5) dan 72(5) Ahli-Ahli Dewan bukan sahaja boleh memelihara kedudukan Raja, tetapi institusi Raja Berperlembagaan akan dilindungi oleh Perlembagaan secara jelas, kerana disebut di dalam Artikel 63(5) dan 72(5) bahawa pengecualian daripada Akta Hasutan tidak termasuk penganjuran `penghapusan kedudukan Berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan Berperlembagaan Raja sesuatu negeri`.


Tuan Yang di-Pertua,

56. Perkara yang kedua yang boleh menidakkan penghapusan kekebalan Raja-Raja apabila melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dalam suatu urusan yang tidak rasmi ialah hak pengampunan Raja seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 42. Dengan peruntukan ini, Raja boleh mengampunkan dirinya sendiri jika ia dihukum salah oleh mahkamah setelah kekebalan daripada tindakan undang-undang ditarik balik.Ini bermakna penarikan kekebalan tidak bermakna dan tidak berkesan.

57. Justeru itu, Kerajaan bercadang supaya Perkara 38 dan 42 Perlembagaan Persekutuan dipinda seperti dalam Fasal(2) Perkara 38 dan Fasal(12) Perkara 42. Fasal (2) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda - (a) dengan menggantikan koma di hujung perenggan (c) dengan koma bernoktah; dan (b) dengan memasukkan, selepas perenggan (c), perenggan yang berikut: “(d) memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,”.Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda dengan memasukkan, selepas Fasal (11), Fasal-Fasal yang berikut: “(12) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, jika kuasa-kuasa yang tersebut dalam Perkara ini - (a) kena dijalankan oleh Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri dan dikehendaki dijalankan berkenaan dengan dirinya atau isterinya, anak lelakinya atau anak perempuannya, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Ketua Menteri bagi Negeri itu yang bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu di bawah Perkara ini dan yang hendaklah dipengerusikan olehnya; (b) dikehendaki dijalankan berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja sesuatu Negeri, atau Konsortnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dan peruntukan-peruntukan yang berikut hendaklah terpakai: (i) apabila menghadiri mana-mana prosiding di bawah Fasal ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besar mereka; (ii) sebelum membuat keputusannya tentang apa-apa perkara di bawah Fasal ini, Majlis Raja-Raja hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah diberikan oleh Peguam Negara tentang perkara itu; (c) dikehendaki dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan anak lelakinya atau anak perempuannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa- kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Raja sesuatu Negeri yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja dan Raja itu hendaklah bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang relevan yang ditubuhkan di bawah Perkara ini.(13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal (12), Yang di-Pertuan Agong atau Raja Negeri yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan Yang di-Pertua- Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi anggota Majlis Raja-Raja”.

58. Dengan pindaan ini Raja tidak boleh mendengar rayuan dan mengampun dirinya sendiri. Jika ada Raja atau Konsortnya yang merayu pengampunan, maka Majlis Raja-Raja akan mendengar dan memutuskan kes berkenaan.

59. Raja juga tidak boleh mendengar rayuan dan mengampun anaknya. Majlis Raja-Raja akan melantik seorang Raja lain untuk mendengar dan memutuskan rayuan pengampunan anak Raja.

60. Dengan pemansuhan kekebalan Raja-Raja daripada tindakan undang-undang, kecuali ketika menjalankan tugas rasminya, adalah dipercayai Raja tidak akan melakukan perbuatan- perbuatan yang boleh didakwa di mahkamah. Dengan ini, Raja akan dihormati rakyat.

61. Pemansuhan sekatan yang dikenakan terhadap Ahli-Ahli Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri oleh Akta Hasutan akan mengelakkan Raja-Raja daripada melakukan sebarang perbuatan yang mungkin menarik teguran ahli-ahli dewan-dewan berkenaan.

62. Pemansuhan kuasa mengampun diri sendiri akan menjadikan tindakan undang-undang lebih berkesan.

63. Tujuan sebenar pindaan-pindaan ini bukan kerana Kerajaan ataupun rakyat ingin mengheret Raja-Raja ke mahkamah dengan sewenang-wenangnya. Tujuannya ialah supaya Raja-Raja akan menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.Oleh itu, Raja akan lebih dihormati.

64. Harus diingat bahawa penghormatan rakyat terhadap Raja tidak boleh ditentukan oleh undang-undang. Dengan izin, `Respect must be earned`. Mengadakan undang-undang yang menakutkan rakyat tidak akan membawa `respect`. Dengan kesedaran Raja boleh dihadapkan ke mahkamah, Raja tentu akan mengelak daripada melakukan perbuatan yang akan menyebabkan rakyat tidak menghormati Raja. Dengan itu, Institusi Beraja akan lebih dihormati dan lebih berkekalan.

65. Bagi menguatkan usaha mengekalkan Raja dan Sistem Beraja, sebarang syor atau desakan menghapuskan Sistem Beraja adalah ditafsirkan sebagai hasutan dan akan didakwa di bawah Akta Hasutan.


Tuan Yang di-Pertua,

66. Saya berasa amat sedih kerana pada hari ini saya terpaksa mengemukakan kepada Dewan yang mulia ini satu Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan yang sedikit- sebanyak mencemar nama baik Raja dan Institusi Raja. Dengan hati yang berat saya telah mengemukakan dan mengulas pindaan-pindaan yang dicadangkan ini.

67. Kerajaan membuat keputusan untuk meminda Perlembagaan bukannya tanpa sebab. Sebenarnya seperti yang telah saya katakan, Kerajaan telah mengelak daripada membuat pindaan ini semenjak daripada mula kita mencapai kemerdekaan. Kita mengelak kerana ingin menjaga maruah Raja-Raja. Tetapi pendekatan secara ini tidak meredakan keadaan. Sebaliknya keadaan menjadi lebih buruk.

68. Akhirnya dengan berlakunya insiden Raja memukul rakyat dan sebelum ini satu lagi insiden di mana anak Raja juga memukul rakyat, Kerajaan tidak dapat memandang ringan kejadian-kejadian ini tanpa menjejaskan kredibiliti Kerajaan sebagai pemerintah yang bertanggungjawab.

69. Kerajaan terpaksa membuat pendirian tegas untuk melindungi rakyat daripada dianiaya oleh Raja. Sudah tentu pendirian ini tidak dibuat kerana dua insiden ini sahaja.Sebelum ini terdapat banyak insiden di mana Raja menganiaya rakyat, Raja menyalahi undang-undang civil dan criminal, Raja menyalahgunakan wang serta harta Kerajaan dan negara, Raja menekan dan menganiaya pegawai-pegawai.

70. Insiden di Johor hanyalah dengan izin, `the straw that broke the camel`s back`. Reaksi rakyat terhadap insiden- insiden ini jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak lagi dapat menerima dan `tolerate` perbuatan seperti ini.


Tuan Yang di-Pertua,

71. Memang ada orang tertentu yang seolah-olah ingin memberi kuasa dan mempertahankan Raja apabila Raja melakukan jenayah. Mereka cuba memesongkan fikiran rakyat dengan menuduh bahawa Kerajaan bercadang menghapuskan Sistem Beraja.

72. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak bercadang sama sekali untuk menghapuskan Sistem Beraja. Ini jelas daripada pindaan yang dikemukakan.Sebarang cadangan untuk menghapuskan Sistem Beraja akan ditafsir sebagai hasutan dan Kerajaan akan mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan ke atas sesiapa sahaja yang mengesyor atau bertindak untuk menghapuskan Sistem Beraja.


Tuan Yang di-Pertua,

73. Kerajaan sedar bahawa rakyat, khususnya orang Melayu menerima dan menyokong Institusi Raja-Raja Melayu. Tuduhan yang dibuat bahawa Kerajaan bercadang untuk menghapuskan Sistem Beraja adalah kerana kepentingan politik semata-mata.Kerajaan yang mewakili majoriti orang Melayu dan kaum-kaum lain akan mematuhi kehendak rakyat dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak disukai.

74. Oleh kerana jelas majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini masih menghendaki Sistem Beraja, khususnya Sistem Raja Berperlembagaan, maka Kerajaan akan menentukan sistem ini dilindungi oleh Perlembagaan.


Tuan Yang di-Pertua,

75. Ada pihak yang berpendapat bahawa Raja Melayu diperlukan untuk melindungi orang Melayu. Peristiwa Perjanjian MacMichael dan Malayan Union jelas membuktikan bahawa yang sanggup dan mampu melindungi orang Melayu ialah orang Melayu sendiri. Jika tidak kerana mereka bangun dan menentang Malayan Union, hari ini orang Melayu akan menjadi pengemis di negeri sendiri.

76. Percubaan pihak yang cuba menakutkan orang Melayu terhadap pindaan ini adalah kerana mereka ingin menggunakan sentimen kaum untuk kepentingan parti mereka. Sejarah mereka tidak boleh meyakinkan kita bahawa mereka ikhlas.Mereka inilah yang telah cuba melemahkan orang Melayu dengan memecahbelahkan UMNO dan mengadakan kerjasama dengan pihak- pihak tertentu yang diragui oleh orang Melayu.

77. Apakah hanya dengan menghalang Raja daripada melakukan jenayah maka Raja akan hilang kedaulatan dan tidak lagi menjadi Raja? Pendapat bahawa Raja hanya boleh menjadi 33 Raja jika ia berhak dan diberi keistimewaan melakukan jenayah adalah bertentangan dengan konsep Raja sebagai punca undang-undang. Di zaman dahulu di Barat, Raja memang mempunyai hak melakukan jenayah. Umpamanya mengikut kepercayaan kepada konsep, dengan izin, `Droit du seigneur` (right of the Lord) atau Hak yang di-Pertuan, Raja berhak bermalam dahulu dengan semua pengantin baru.

78. Tetapi di Barat pun semua hak ini telah dihapuskan.Sebab itu di negara-negara Barat yang mengekalkan Sistem Beraja, tidak ada kekebalan secara khusus bagi Raja. Jika ada pun sebutan bahawa Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah, ini hanyalah formaliti sahaja. Raja, Kerajaan dan rakyat tahu bahawa jika Raja melakukan jenayah, ia akan dihadapkan ke mahkamah, dan ia akan diturunkan dari takhtanya. Justeru itu, Raja di negara Barat tidak akan dengan sengaja melakukan jenayah.

79. Walaupun jelas Raja-Raja di Barat tidak kebal atau im- mune daripada tindakan undang-undang dan bukan undang- undang, Raja masih tetap juga Raja. Mereka masih dihormati dan disegani.


Tuan Yang di-Pertua,

80. Di zaman British, Raja-Raja Melayu bukan sahaja tidak kebal tetapi juga berada di bawah telunjuk pegawai-pegawai British. Mereka boleh dinaikkan atau diturunkan dari takhta. Satu daripada ugutan MacMichael supaya Raja menandatangani Perjanjian Malayan Union ialah mereka akan diturunkan dari takhta jika mereka tidak menandatangani Perjanjian tersebut.

81. Dalam keadaan sebegini pun, Raja masih terus menjadi Raja. Rakyat tidak menuntut supaya Raja-Raja disingkir atau Sistem Beraja dihapuskan walaupun Raja-Raja telah menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada penjajah. Sayugia diingatkan bahawa pada masa itu Raja-Raja di Indonesia, India dan Pakistan telah ditolak oleh rakyat yang menuntut kemerdekaan. Sebaliknya rakyat Malaysia, terutama orang Melayu dan UMNO, telah berjuang untuk menyelamatkan Raja- Raja dan Sistem Beraja.

82. Dengan tindakan orang Melayu melawan Malayan Union adalah jelas bahawa nasib orang Melayu berada di tangan rakyat Melayu. Keselamatan orang Melayu tidak terjejas dengan Raja Melayu tidak memiliki hak untuk melakukan jenayah. Ada pihak yang berkata dengan penghapusan hak Raja melakukan jenayah, maka orang Melayu tidak akan Melayu lagi atau akan habislah keistimewaan kedudukan orang Melayu. Ini tidaklah benar. Ini adalah fitnah. Yang akan menjamin Melayu terus Melayu dan hak-hak orang Melayu terus terpelihara ialah orang Melayu sendiri. Merekalah melalui wakil-wakil dan Kerajaan yang mereka pilih yang mencipta dan melaksanakan berbagai-bagai rancangan untuk memelihara dan menebus maruah bangsa Melayu.


Tuan Yang di-Pertua,

83. Seorang Raja telah menyoal kenapakah pindaan Perlembagaan ini dikaitkan dengan agama Islam sedangkan Kerajaan ini tidak bersetuju dengan pelaksanaan undang- undang syarak dan hudud. Menurut Baginda, Baginda sedia menerima hukum-hukum Islam tanpa immuniti tetapi tidak sanggup menerima undang-undang negara yang dikatakan bukan undang-undang Islam.

84. Sama ada direstui atau tidak oleh Baginda, kedudukan Raja-Raja Melayu semenjak merdeka ditentukan oleh undang- undang, iaitu Perlembagaan. Undang-undang inilah juga yang memberi keistimewaan-keistimewaan tertentu kepada Raja. Di antara keistimewaan ini ialah immuniti daripada tindakan undang-undang. Jika Raja sanggup menerima immuniti di bawah undang-undang yang bukan undang-undang Islam, kenapakah penghapusan immuniti dalam undang-undang yang sama tidak mahu diterima oleh Raja?

85. Dalam Islam ada dua prinsip yang dipegang kuat berkenaan dengan undang-undang. Yang pertamanya ialah tidak ada perbezaan antara umat Islam daripada segi penguatkuasaan hukum-hukum Islam. Raja dan rakyat adalah sama sahaja.Immuniti bagi Raja adalah bertentangan dengan prinsip ini.Menolak penghapusan immuniti supaya dikekalkan perbezaan antara Raja dan rakyat dalam undang-undang tidak mencerminkan pegangan yang kuat kepada prinsip Islam.

86. Menerima immuniti daripada undang-undang yang dikatakan bukan undang-undang Islam, tetapi menolak penghapusan immuniti ini dalam undang-undang yang sama amatlah bercanggah dengan dakwaan hanya sanggup menerima undang- undang Islam sahaja.

87. Islam memberi banyak kelonggaran. Islam mengambilkira segala faktor dan keadaan yang dihadapi oleh umatnya.Demikian dalam menunaikan ibadat pun keadaan alam sekeliling, kesihatan individu dan keadaan semasa diambilkira. Oleh itu, sembahyang boleh dilakukan tanpa gerak badan tertentu, tanpa menghadapi kiblat, didahulukan, dikemudiankan atau dicantumkan, berjemaah atau berseorangan.Rakyat Palestin yang dihalau keluar oleh Pemerintahan Zionis boleh sembahyang tanpa menanggalkan kasut. Dalam ibadat- ibadat lain kelonggaran juga diberikan. Demikian juga dengan penguatkuasaan hukum hudud. Keadaan alam sekeliling dan masyarakat perlu diambilkira. Sebab itu tidak banyak negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Islam yang melaksanakan hukum hudud. Yang melaksanakannya pun tidak melaksanakan dengan sepenuhnya.

88. Kerajaan tidak menolak hukum hudud. Pelaksanaannya mestilah mengambilkira keadaan negara di mana penduduk Islamnya hanya merupakan 56 peratus dan mereka masih daif dalam berbagai-bagai bidang. Pentadbiran yang menolak kelonggaran yang diberikan oleh Islam sebenarnya tidak mematuhi ajaran Islam. Islam tidak menyuruh orang Islam atau Kerajaan Islam melaksanakan hukum Islam secara membuta- tuli sehingga boleh membinasakan diri. Sebab itu Nabi menyuruh pengikutnya pergi ke Habsyah untuk menyelamatkan diri. Sebab itu Nabi berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan Islam dan perjuangan Islam.

89. Jika keadaan mengizinkan, kita akan menguatkuasakan hukum hudud. Tetapi janganlah sementara kita menunggu hukum hudud dilaksanakan, kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebenarnya jenayah yang dilarang dalam undang-undang negara ini adalah juga yang dilarang oleh agama Islam. Apakah Raja berkenaan mahu kebebasan melakukan jenayah ini hanya kerana kita belum boleh melaksanakan hukum hudud yang melarang jenayah yang sama?

90. Prinsip yang kedua ialah tidak ada kekebalan dalam Islam. Semua hukum adalah untuk semua umat. Raja yang mahu dirinya kebal daripada undang-undang sudah tentu menentang prinsip Islam ini.


Tuan Yang di-Pertua,

91. Akhirnya saya ingin menyentuh mengenai masalah menasihati Raja. Seperti yang telah saya sebutkan, Raja dikehendaki menerima nasihat Kerajaan. Di negara-negara lain di mana Sistem Beraja masih wujud walaupun tidak ada peruntukan khusus bahawa Raja bertindak mengikut nasihat

Kerajaan, namun Raja tidak pernah bertindak bertentangan dengan nasihat Kerajaan. Oleh itu, perhubungan di antara Raja dengan Kerajaan yang mewakili rakyat tetap baik. Lebih daripada itu, di negara-negara ini Raja dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat.

92. Malangnya, di Malaysia walaupun ada peruntukan bahawa Raja harus bertindak mengikut nasihat Kerajaan, tetapi pihak Raja memegang kepada tafsiran nasihat yang diterima umum — iaitu nasihat boleh diterima atau ditolak. Tafsiran ini adalah salah. Dalam pada itu, ada pula perkara tertentu yang Raja menganggap ianya tidak perlu diberi nasihat.Dengan ini banyaklah perkara yang dilakukan yang bertentangan dengan Kerajaan yang mewakili rakyat.

93. Masalah yang dihadapi hari ini berpunca daripada pendapat bahawa Raja boleh membelakangkan Kerajaan rakyat.Tindakan curang yang berlaku adalah kerana nasihat tidak dihiraukan. Tidak adanya persetujuan terhadap pindaan ini juga berpunca daripada keengganan Raja menerima nasihat.

94. Jika ini berterusan, maka Kerajaan Demokrasi Berparlimen tidak dapat wujud sepenuhnya dan sebenarnya.Inilah sebabnya Kerajaan membawa pindaan ini kepada Dewan.Jika proses ini dipertikaikan, maka keputusan boleh dibuat oleh mahkamah. Sebagai Kerajaan yang berpegang teguh kepada, dengan izin `rule of law` kita akan patuh kepada keputusan mahkamah. Di masa yang sama, perkara ini tidak harus dilihat daripada sudut undang-undang sahaja. Ia perlu dilihat daripada sudut politik juga.

95. Di waktu Raja menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada British, rakyat mengambil tindakan politik untuk mendapatkan balik negeri-negeri Melayu dan mengekalkan Institusi Raja.Walaupun daripada segi undang-undang rakyat tidak berhak kerana semua perjanjian dibuat antara British dan Raja sahaja, pihak British menghormati tindakan politik rakyat.

96. Saya berharap Raja-Raja Melayu juga akan mengambil iktibar daripada sejarah negara, khususnya sejarah Malayan Union dan menerima kehendak politik negara. Walaupun tanda- tanda menunjukkan bahawa Raja-Raja tidak menerima pindaan ini, saya berharap selepas pindaan ini diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Raja-Raja Melayu akan menerima dan meluluskan undang-undang ini.

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan.


Penyampai : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Lokasi : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Tarikh : 18-01-1993

...........................................................................................................................................................

* Pernah dengar kisah Prebet Adam?

** Ramai yang tak tau apa yang dibentangkan oleh Tun Dr. Mahathir? Ramai yang hanya ‘hear and say’ sahaja tapi mengulas macam penglipur lara. Mudah diperdaya oleh dakyah Anwar Ibrahim dan mesin propagandanya.....

Sumber :
Hansard 18 Januari 1993
http://issuu.com/hanief84/docs/dr-18011993

http://mforum.cari.com.my/archiver/?tid-401788.html

1 ulasan:

khairul berkata...

mohon share.boleh x??????sbg berkongsi....