Sabtu, 17 November 2012

PAS TIDAK TERIMA CINA DAN INDIA

MENJELANG KEMERDEKAAN : 
PAS TOLAK SURUHANJAYA REID, PERIKATAN SOKONG 

Inilah bangsa yang PAS tak suka diberi kerakyatan

Sekembalinya dari London, Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, singgah di Melaka pada 25 Februari 1956 untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Orang ramai yang berkumpul di padang Bandar Hilir Melaka menyambut pengumuman bersejarah itu dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka!. 

Dalam keasyikan melaungkan kalimah merdeka itu, terserlah juga kebimbangan di kalangan orang Melayu tentang nasib yang akan menimpa mereka selepas Tanah Melayu merdeka. Mungkinkah mereka akan mengalami nasib sama seperti orang Palestin? 

Melihat kepada tuntutan melampau pertubuhan bukan Melayu menambahkan lagi kebimbangan mereka. Sebagai sebuah parti Melayu, PAS atau Parti Islam se-Tanah Melayu memandang serius terhadap tuntutan melampau kaum bukan Melayu yang kiranya diterima bukan sahaja akan menghakis hak ketuanan Melayu tetapi juga menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pribumi negara ini. 

Atas pendirian itu PAS perlu memain peranannya sebagai pembela bangsa dan agama. PAS tidak yakin Umno akan dapat menjaga kepentingan orang Melayu kerana terikat dengan semangat setiakawan Perikatan yang berjuang atas landasan Tanah Melayu untuk orang Malayan. 



Setelah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu, kerajaan British telah melantik Lord Reid, seorang Hakim Besar, sebagai pengerusi Suruhanjaya Bebas bagi menggubal Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Butir-butir rujukan suruhanjaya itu adalah seperti berikut: 

1. mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang kuat; 
2. menjaga kedudukan dan kehormatan Raja-Raja Melayu; 
3. perlantikan salah seorang Sultan sebagai Raja Berperlembagaan yang bergelar Yang diPertuan Besar; 
4. mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan kaum-kaum lain; 
5. menyediakan hak kerakyatan yang sama kepada semua penduduk di Tanah Melayu. 

PAS kecewa kerana bukan mereka yang menjadi hero
Suruhanjaya Perlembagaan Tanah Melayu telah menerima 131 memorandum daripada badan politik, badan bukan politik dan individu. PAS adalah antara pertubuhan politik yang turut mengemukakan memorandum kepada suruhanjaya itu. 

Pada prinsipnya PAS tidak bersetuju dengan cadangan Perikatan mengenai penubuhan Suruhanjaya Besar Asing untuk menggubal Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Alasan PAS ialah ahli-ahlinya tidak “tahukan hal Persekutuan Tanah Melayu ini, dan kesulitan-kesulitan politiknya, selain daripada rakyat negeri ini”. 

PAS tidak keseorangan dalam memperkatakan perkara ini. Pada awalnya Raja-Raja Melayu juga tidak bersetuju untuk menerima Suruhanjaya Bebas itu. Salah seorang daripada Raja-Raja Melayu pernah menyuarakan kebimbangan baginda terhadap kejujuran Suruhanjaya Bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya. 

Raja-Raja Melayu bimbang Suruhanjaya itu akan mencadangkan Perlembagaan yang menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu. Raja-Raja Melayu juga bimbang dengan orang Cina bukan kelahiran tempatan. 

Bagaimanapun, sebagai tanda penghormatan kepada asas demokrasi dan memandangkan kepada kepentingan bangsa dan negara, PAS mengemukakan juga memorandum kepada suruhanjaya itu pada 14 Julai 1956. 

Sebagai sebuah parti orang Melayu beragama Islam, PAS memandang serius terhadap tuntutan orang asing yang menuntut hak yang sama seperti orang Melayu. The Pan-Malayan Federation of Chinese Associations sebagai contoh, menolak secara total hak ketuanan Melayu sebaliknya menuntut prinsip Jus Soli dikuatkuasakan. Kebimbangan ini terbayang dalam memorandum yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid. 


NEGERI ORANG MELAYU 

PAS kata Tanah Melayu hanya untuk Melayu 
Pada pandangan PAS, Tanah Melayu adalah negeri orang-orang Melayu dan hak ini telah diiktiraf oleh perundangan dan disahkan oleh sejarah. Oleh kerana itu peruntukan 5 dalam Butiran Rujukan Suruhanjaya itu hendaklah dilihat dari sudut bahawa negeri ini adalah negeri orang Melayu. Sebarang usaha untuk menindakkan hak keistimewaan itu adalah bercanggah dengan hak kemanusiaan dan prinsip undang-undang. 

Orang-orang Melayu hanya mempunyai satu sahaja kedudukan dalam negeri ini, iaitu mereka memiliki negeri ini. Dan, hak kedaulatan orang Melayu ke atas negeri ini adalah mutlak. PAS tidak bersetuju kiranya pemberian hak keistimewaan dan pelindungan kepada orang Melayu kerana kelemahan mereka dari segi politik dan ekonomi berbanding dengan kaum asing. PAS mahu suruhanjaya memperakui bahawa negeri ini adalah kepunyaan orang Melayu. 

PAS TOLAK JUS SOLI 

PAS juga membantah keras tuntutan orang asing untuk menjadi rakyat negeri ini berasaskan prinsip Jus Soli ataupun melonggarkan syarat kerakyatan. Sekiranya tuntutan kaum asing itu diterima serta mengambilkira kekuatannya dari segi ekonomi, pasti ia akan menimbulkan kekacauan dari segi politik. 

Kini mereka bersekongkol menjahanamkan Malaysia
Di bawah penjajahan British, negeri-negeri Melayu telah dibuka kepada kaum imigran tanpa sekatan. Keadaan ini telah mengakibatkan jumlah pendatang asing meningkat secara mendadak dan melebihi bilangan penduduk orang Melayu. Kaum asing mengambil kesempatan daripada kelemahan orang Melayu untuk membolot kekayaan negeri ini. 

Sesungguhnya prinsip Jus Soli hangat dibincang sejak 1946 lagi apabila prinsip ini mula-mula diperkenalkan dalam dasar Malayan Union. Raja-Raja Melayu dan orang Melayu menolak prinsip Jus Soli dalam pemberian kerakyatan kepada bangsa imigran. Justeru, prinsip Jus Soli digugurkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu (1948). 

Pendirian tegas Raja-Raja dan orang Melayu terhadap isu ini tidak berubah. Pada 1950 prinsip Jus Soli sekali lagi ditolak orang Melayu apabila dicadangkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Antara Kaum. Jawatankuasa ini menawarkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi sebagai pertukarannya. 

Mahasiswa Melayu di Universiti Malaya di Singapura, dalam memorandum yang dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu, merayu supaya cadangan itu ditolak. Pada pandangan mahasiswa Melayu itu, cadangan itu kiranya diterima akan menjejaskan kedudukan orang Melayu dari segi jangka panjang. 

Atas hujah yang sama PAS menentang prinsip Jus Soli. Oleh kerana Tanah Melayu adalah negeri Melayu, maka PAS mencadangkan struktur sosial dan pola kebudayaan Tanah Melayu hendaklah disesuaikan dengan keadaan itu. Kebudayaan Kebangsaan hendaklah berumbikan kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan. 

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA RASMI 

Bersesuaian dengan itu, bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan dan bahasa Melayu juga mesti menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran. Bahasa Inggeris masih kekal sebagai bahasa kedua tetapi untuk tempoh lima tahun sahaja. Penggunaan bahasa Inggeris hendaklah dipastikan tidak akan menjejas kedudukan dan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, PAS mencadangkan agama Islam menjadi agama rasmi negara. PAS percaya dan yakin bahawa ajaran Islam mampu untuk memandu kemajuan negara dari segi politik. 

Dari segi pemerintahan PAS bersetuju dengan sistem Persekutuan sedia ada. Bagaimanapun PAS mahu pastikan sistem Persekutuan tidak akan menjejaskan maruah dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. 

Mengenai soal kerakyatan, PAS mencadangkan supaya prinsip kerakyatan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1948) dikekalkan tetapi dengan beberapa pindaan, iaitu: 

1. Jangkamasa kemastautinan yang diperlukan oleh bangsa asing bagi melayakkan mereka memohon status kerakyatan ialah tidak kurang daripada 15 tahun. 

2. Membantah penggunaan prinsip Jus Soli untuk orang asing. 

3. Hanya bahasa Melayu sahaja diguna untuk peperiksaan kelayakan bahasa bagi mendapatkan kerakyatan. 

PAS juga mencadangkan supaya rupa bangsa di Tanah Melayu adalah rupa bangsa Melayu. 


HAK KEISTIMEWAAN MELAYU 

Dari segi hak keistimewaan orang Melayu, PAS meminta Suruhanjaya Reid memperakui bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah milik orang Melayu. Oleh itu hak keistimewaan Melayu sebagai tuan rumah hendaklah diiktiraf dan dihormati serta dipertahankan sampai bila-bila masa. 

PAS berikrar akan mempertahan hak orang Melayu sekiranya cuba digugat oleh kaum asing. Bagaimanapun PAS memberi jaminan bahawa hak kaum asing akan tetap dihormati. 

PAS juga menegaskan kepada Suruhanjaya Reid supaya memastikan sebarang pindaan ke atas hak keistimewaan orang Melayu, bahasa kebangsaan dan agama Islam hendaklah dengan persetujuan sebulat suara Majlis Raja-raja Melayu. 

Dapat dikatakan bahawa pada umumnya badan politik dan bukan politik Melayu bersetuju dengan pandangan PAS. Antaranya ialah The Malay Forum dan Kongres Pelajaran Melayu. The Malay Forum, dalam memorandumnya pada 6 Ogos 1956, membantah sebarang cadangan untuk menidakkan hak keistimewaan Melayu di tanah airnya sendiri lebih-lebih lagi peruntukan yang melonggarkan syarat-syarat kerakyatan kepada kaum asing. 

Kongres Pelajaran Melayu, dalam memorandumnya, kepada Suruhanjaya Reid pada 15 Ogos 1956, juga menuntut Suruhanjaya Reid menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi bagi Persekutuan Tanah Melayu berasaskan hak keistimewaan orang Melayu dari segi undang-undang. 

UMNO juga turut mengemukakan cadangannya kepada Suruhanjaya Reid. Tuntutan Umno bagaimanapun dicantumkan bersama dengan tuntutan MCA dan MIC dalam Memorandum Perikatan (The Political Testament of the Alliance). 


PENYATA SURUHANJAYA REID 

Setelah selesai sidang perjumpaannya, anggota suruhanjaya mengadakan mesyuaratnya di Rome. Dalam bulan Februari 1957, suruhanjaya mengeluarkan Penyata Perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka. 

Dalam penyatanya, suruhanjaya menolak cadangan PAS tentang hak ketuanan Melayu dan Islam sebagai asas perlembagaan. Suruhanjaya mencadangkan supaya rakyat Komanwel memiliki dua kerakyatan. 

Dengan lain perkataan, seseorang itu boleh menjadi rakyat India dan juga rakyat United Kingdom serta tanah-tanah jajahan lain pada masa yang sama sungguhpun orang itu mengakui taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap negeri yang didiaminya. 

Suruhanjaya bagaimanapun bersetuju dengan cadangan supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi. Namun demikian bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi selama sepuluh tahun selepas merdeka, dan tidak lima tahun seperti yang dicadangkan oleh PAS. 

Selepas sepuluh tahun, kedudukan bahasa Inggeris akan ditentukan oleh Parlimen. Suruhanjaya juga mencadangkan supaya bahasa Kuo-Yu dan Tamil boleh digunakan dalam Majlis Perundangan Persekutuan dalam tempoh itu. 

Dengan itu, tidaklah hairan Penyata Suruhanjaya itu dikritik PAS. PAS menganggap penyata itu sebagai pengkhianatan kepada bangsa Melayu. Ini kerana penyata itu menolak ketuanan Melayu. Keadaan ini berlaku kerana anggota-anggota Suruhanjaya itu berjiwa penjajah. 

Pada 2 Mei 1957 PAS mengadakan mesyuarat agung khas di Kuala Lumpur bagi membahas Penyata Suruhanjaya. Sebuah kertas kerja dibentang oleh Osman Abdullah, Setiausaha Agung PAS. Beliau menganggap Penyata Suruhanjaya itu sebagai aneh kerana di dalam Perlembagaan yang dicadangkan itu tidak ada ketuanan yang diiktirafkan. 

Oleh kerana Penyata Suruhanjaya itu dianggap mengkhianati bangsa Melayu, PAS mencadangkan supaya melemparkan penyata itu semua sekali dan digantikan dengan satu cara pentadbiran dan cara perlembagaan yang dibuat oleh rakyat negeri ini dan diredhai oleh mereka… 

Pada pandangan PAS, Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang akan merdeka itu hendaklah mengandungi lima perkara besar, iaitu: 

1. Mengaku bahawa bangsa Melayu adalah tuan punya negeri ini. 

2. Mengaku bahawa orang Melayulah sebagai Bumiputera negeri ini dan hendaklah mempunyai hak yang istimewa dan bukan pada kulit sahaja. 

3. Hendaklah ditegaskan di dalam kerakyatan negeri ini satu syarat yang besar, iaitu tiada seseorang pun boleh menjadi rakyat negeri ini melainkan dibuat syarat dan ikatan bahawa ia benar-benar taat kepada negeri ini. 

4. Hendaklah ditegaskan bahawa agama Islam mestilah dijadikan agama rasmi tetapi bukanlah agama Hari Raya, agama Puasa atau agama Pejabat Agama tetapi agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini dan kepada pemerintahan. 

5. Hendaklah ditetapkan dalam Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi dengan serta merta. 

Tuntutan PAS bagaimanapun ditolak British. 


Setelah beberapa penyesuaian dibuat, rang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diluluskan Majlis Perundangan Persekutuan yang dikuasai Perikatan Umno-MCA-MIC pada 27 Ogos 1957. Pada 31 Ogos 1957 Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan merdeka. 

0 ulasan: