Selasa, 17 Disember 2013

MELAYU MALAS : Ajar Melayu pancing ikan ......

 
HARI ini diperhatikan semakin ramai Melayu-Muslim menyuarakan rasa kecewa dan ‘frustration’ terhadap kedudukan politik dan ekonomi bangsa berbanding persepsi positif dan optimis di dekad awal selepas merdeka.

Ramai semakin hilang keyakinan diri melihat kedudukan ekonomi dan politik Melayu-Muslim bukan semakin bertambah baik dan kukuh seperti diharapkan; malah semakin merosot dan membimbangkan. Bangsa Melayu kelihatan seolah-olah kehilangan punca.


Jangan tersalah fokus kelemahan

Dalam dekad pertama selepas merdeka, Melayu-Muslim percaya penjajahan punca utama kelemahan dan kegagalan mereka. Justeru, penjajah dipersalahkan dan dijadikan kambing hitam atau ‘scapegoat’.

Kemerdekaan berjaya menamatkan penjajahan, sekali gus menyingkir halangan terbesar kemajuan. Kuasa pemerintahan di tangan meyakinkan tidak akan ada lagi penghalang bangsa dan umat membangun. Namun hakikatnya, setelah lebih lima abad berkuasa sendiri, hari ini Melayu-Muslim Malaysia masih kecewa dan semakin ramai hampa dan hampir putus harapan.
 
 Sekali pun majoriti Melayu-Muslim tidak lagi miskin, ekonomi masih bergantungan, menekan hidup dan menjejas kebebasan. Paling membimbangkan, jurang kaya-miskin semakin melebar, bukan sahaja antara kaum, malahan juga dalam kalangan Melayu-Muslim sendiri, berpotensi berpanjangan memecah-belah mereka.

Paling Melayu-Muslim takuti: andainya tsunami politik PRU13 berulang lagi pada PRU14 dan seterusnya, kali ini menenggelamkan semua, melemas dan langsung menghapuskan ekonomi setelah pupus kuasa politik Melayu! Siapa pula yang akan Melayu-Muslim persalahkan kali ini, setelah lama merdeka dan penjajah tidak boleh dipersalahkan lagi?  
 
Bahayanya, diperhatikan ramai Melayu hari ini cenderung memarahi dan mempersalahkan warga Cina sebagai punca kelemahan dan kegagalan. Sentimen anti-Cina semakin bersemarak setelah keputusan PRU13 dilabel satu tsunami Cina. Label seperti ini menyebabkan ramai cenderung menjadikan warga Cina kambing hitam mutakhir Melayu.

Apakah wajar Melayu-Muslim menjadikan warga Cina Malaysia kambing hitam terbaru zaman ini? Persoalan lebih besar yang sebenarnya Melayu-Muslim wajib tanyakan: Apakah mencari dan menyalahkan kambing hitam jalan keluar terbaik mengatasi kelemahan Melayu-Muslim?
Belajar daripada kejayaan Cina

Trend pemikiran seperti ini berbahaya dan tidak wajar dibiarkan berleluasa. Hakikat yang wajib Melayu-Muslim terima ialah: mencari kambing hitam menyalahkan orang lain bukan jalan keluar dan jika dituruti cuma akan memburukkan masalah kelemahan Melayu.

Satu cara mudah mengatasi kelemahan diri ialah mempelajari pengalaman sukses orang lain. Umat Islam pasti teringat hadis Rasulullah SAW menggalakkan menuntut ilmu, sekali pun “sampai ke negeri China”. Pada pandangan saya bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia sebenarnya bertuah dan harus bersyukur kerana terdapat ramai warga Malaysia keturunan Cina di negara sendiri. Belajarlah daripada pengalaman mereka, terutama dalam bisnes!
 
Perhatikan, ketika warga Cina mula datang beramai-ramai ke Tanah Melayu. Mereka berpindah ke sini bertujuan melepaskan diri dan keluarga daripada cengkaman kemiskinan dan penderitaan hidup di Tanah Besar China yang ketika itu kerap dilanda kebuluran, pergolakan politik dan kesempitan peluang ekonomi. Ertinya, mereka sanggup mengharungi kepayahan berpindah ke tempat tidak dikenali, lari daripada keselesaan hidup bersama bangsa di tanah air sendiri menuju ketidakpastian hidup sebagai minoriti di tanah asing.

Perpindahan satu tindakan besar dan nekad membabitkan terlebih dahulu kesanggupan berhijrah minda dan pandangan hidup, melepaskan semua pegangan kepada kebiasaan lama.

Pengajaran pertama buat Melayu-Muslim ialah mereka mesti sanggup berhijrah pandangan hidup dan memperbaharui diri. Sikap dan minda pendatang minoriti sanggup menghadapi segala ketidakpastian wajib Melayu budayakan, atas realiti mereka sebenarnya juga warga minoriti dan pendatang baru. Melayu-Muslim minoriti dalam ekonomi negara dan pendatang baru dalam dunia bisnes, justeru memerlukan kekentalan mental dan pembaharuan jiwa luar biasa. 

Majoriti Cina datang ke Tanah Melayu dalam keadaan sangat miskin, berhutang dan bergadai golok. Ramai yang terpaksa menumpang, menyewa tanah milik Melayu; hidup sederhana dengan serba kekurangan. Ada yang terlampau miskin kesusahan hingga terpaksa menyerah anak perempuan untuk diangkat dan dibesarkan keluarga Melayu.
Namun, mereka segera menerap budaya survival. Disiplin diri, budaya kerja tanpa mengenal penat-lelah dan berjimat-cermat diutamakan. Mereka gigih menabung, pandai menghimpun harta, menghormati orang lain dan sangat mengutamakan semangat kerjasama, membulatkan persepakatan kaum. Akhirnya mereka berjaya melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Semua ini wajar segera Melayu contohi dan budayakan.

Sesungguhnya sangat banyak yang Melayu-Muslim dapat manfaatkan dengan belajar, bekerjasama dan meneladani kejayaan warga Cina. Saya berpendapat cuma sedikit gaya dan pandangan hidup Cina yang tidak perlu Melayu-Muslim tiru dan contohi; iaitu aspek menyentuh akidah dan iman, khasnya yang bertentangan dengan nilai ajaran Islam.

Jangan beri Melayu ikan

Perhatikan satu lagi kehebatan warga Cina: Tanpa dasar kerajaan memihak sepenuhnya kepada mereka, mereka tetap berjaya. Cina berjaya sekali pun tiada sokongan rasmi kerajaan atau dasar seumpama DEB khas untuk mereka. Ini bermakna ciri budaya berdikari dan semangat langsung tidak mahu bergantung hidup kepada orang lain suatu kelebihan besar membentuk kejayaan orang Cina.
 

Tidakkah ini bermakna sikap terlampau bergantung kepada dasar dan bantuan kerajaan punca sebenar kelemahan, menyebabkan terhakis semangat berdikari Melayu?

Malangnya Melayu-Muslim terlalu 'ketagihkan' bantuan kerajaan hingga mati jiwa berdikari, sekali pun sikap ini jelas bertentangan dengan semangat “alyadul uliya” anjuran Islam menyarankan Melayu-Muslim menjadi umat “tangan di atas”. Di sisi Islam, tangan di atas adalah “tangan memberi” yang lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding umat “tangan di bawah”, sentiasa meminta-minta, termasuk meminta bantuan daripada kerajaan!
Pada saya, kebergantungan atau dependency seolah-olah menjadi budaya kepada Melayu-Muslim akibat terlalu lama, iaitu lebih lima dekad, di bawah anjuran kerajaan. Sekali pun berniat baik untuk menolong dan membantu, akhirnya dasar dan program kerajaan melemahkan upaya, mematah semangat berdikari dan merosakkan jati diri. Malangnya, sindrom pergantungan juga berlaku akibat perhitungan politik kerajaan sengaja menggalakkannya, bertujuan memikat undi rakyat, terutama menjelang musim pilihan raya.

Apa pun niat dan puncanya, program bantuan kerajaan merosakkan, terutama jika disampaikan mengikut kaedah “memberikan ikan” kepada rakyat. Kaedah ini bertentangan pepatah menganjurkan rakyat dibantu dengan cara diajar memancing, bukan diberikan ikan. Kerana dengan memberi ikan orang dibantu makan hanya untuk sehari. Sedangkan apabila diajar memancing memberi kemahiran hidup mengupaya mereka makan sepanjang hayat.

Kesimpulannya, tiba masanya Melayu-Muslim hentikan menyalahi orang lain atas kelemahan dan kerendahan pencapaian sendiri. Kerajaan pula wajib merangka strategi bijak membina generasi Melayu baru supaya tinggi harga diri dan kuat semangat berdikari.


Melayu-Muslim boleh berdikari dan menjadi golongan “alyadul uliya” dengan dukungan saf GLC amanah dan Wakaf Korporat berautonomi menerajui bisnes strategik menjana kekayaan menambah nilai ekonomi negara. Tegasnya, GLC dan Wakaf Korporat adalah institusi “alat pancing” paling penting untuk melindungi masa depan ekonomi dan politik Melayu-Muslim.

Warga Cina pula perlu terus digalak menjayakan bisnes membina ekonomi negara menerusi daya entrepreneur hebat mereka untuk memangkin Malaysia bersaing di pasaran global.

Dengan cara ini, keseimbangan ekonomi dapat dicapai dan kebimbangan Melayu-Muslim kuasa ekonomi dimonopoli oleh warga Cina dapat diatasi. Tanpa kebimbangan ini, dijangka Melayu Muslim tidak akan melampau mencurigai kekayaan warga Cina atau mempersoal hak mereka.

Paling penting, setelah berdikari ekonomi, tidak ada lagi sebab Melayu-Muslim perlu “mengkambing-hitamkan” sesiapa, kerana berjaya mengembalikan keyakinan diri mengatasi segala kelemahan dan kegagalan lampau.
 
* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), ali.bizjihad@yahoo.com

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/muhammad-ali-hashim/ajar-melayu-pancing-ikan-1.182531