Ketika aku hampir di simpang tiga Jalan Jerantut - Temerloh, tiba-tiba sebuah kereta MYVI pantas keluar dari simpang dan memotong depan aku. Aku membrek sehingga kedengaran jeritan tayar Goodyear, creeeeeet. Aku mengucap panjang. Nasib baik tidak 'cium' buntut dia.
Aku menekan pedal minyak, menjenguk muka, memang sudah dijangka, seorang perempuan muda duduk selamba di depan stering. Dia buat muka sardin, tak kisah saja. Mungkin dia tak kisah pun kerana aku yang terkejut sehingga terkecut telur bukan dia. Ini bukan kali pertama. Pemandu perempuan suka keluar simpang tanpa memandang kiri dan kanan. Dia rasa nak keluar, dia keluar tak peduli orang lain. Fikir ikut syok sendiri, orang lain peduli apa. Atau mungkin dia menjangka bahawa pemandu lelaki akan beri laluan dia dulu, "lady first". Jangan perasan saudari, "Lady first" kena tengok tempat juga.
Ketika hendak menukar lorong, masuk lorong dan keluar lorong, perempuan suka menunjukkan perangai kurang sabar. Kalau kita mahu selit depan dia, haram jadah dia tak bagi. Tetapi masa dia hendak masuk lorong kita, tak kira ada signal atau tidak, dia main redah buta sehingga kita terpaksa menekan brek untuk mengelakkan pergeseran. Dia betul-betul mahu menuntut hak "femininnya", lelaki mesti mengalah kepada perempuan. Sayang ooi, di jalan raya istilah kalah atau menang tak ada, melainkan pelumba haram.
Itu kira perempuan berani. Perempuan takut lain pula ceritanya. Adakah patut dia bawa dengan kelajuan 80 km/j di lebuh raya. Kalau lorong kiri boleh dimaafkan, tetapi ini di lorong tengah atau kanan. Kalau bas laju datang pasti berbahaya. Gejala langgar buntut berpunca daripada pandu perlahan di lorong yang tidak sesuai. Secantik mana pun buntut kalau dilanggar bas, kemek dan hiruk pikuk jadinya. Itu belum lagi kalau ada mengkarung, biawak, ayam atau burung terbang melintas depan kereta dia, dah tentu membrek 'emergency', menjajau kita membrek untuk elak daripada sondol dia.
Pemandu lelaki lain sekali. Tidak gopoh keluar simpang, masuk cabang. Malah tenang dan berhati-hati setiap kali menukar lorong, masuk lorong, keluar lorong. Berikan lampu isyarat, tik-tak tik-tak, bila kereta di tepi sudah betul-betul bersedia, barulah dia perlahan-lahan julurkan kepala, masuk lorong baru. Kemudian angkat tangan tanda terima kasih.
Di lebuh raya juga sama. Tidak ada pemandu lelaki memandu kelajuan 80 km/j di lorong tengah kerana mereka takut kena langgar belakang. Pemandu lelaki tahu di mana hendak pakai gear rendah, di mana sesuai pakai gear tinggi. Asyik dengan gear yang sama saja tak boleh. Kesian kereta. Perempuan lain, tukar gear pun kadang-kadang malas. Nasib baik sekarang ada kereta auto. Selamat kereta.
Ini sekadar contoh. Bukan semua pemandu perempuan seperti yang digambarkan di atas. Ramai pemandu perempuan yang cekap dan berhemah. Tetapi KEBANYAKANNYA memang gemar dengan "lady first" dan "lelaki mesti mengalah". Jalan raya bukan seperti di dalam kelambu!
Jangan marah, nanti muka cepat berkedut!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan